PUTRAJAYA: Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony, kekal menjalani hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan semakannya hari ini.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz sebulat suara memutuskan tiada merit dalam permohonan tersebut.
Peter, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, mula menjalani hukuman pada 4 Mac lalu selepas Mahkamah Rayuan sebelum ini mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya.
Permohonan semakan difailkan berdasarkan laporan polis oleh saksi pendakwaan ketiga, Mohd Shukor Mohd Din, yang mendakwa kenyataannya kepada SPRM pada 2017 dibuat di bawah tekanan.
Namun, Hakim Azman ketika membacakan keputusan berkata, ketiadaan laporan polis tersebut dalam penghakiman ringkas tidak menjejaskan keadilan kerana ia telah dihuraikan dalam penghakiman penuh bertarikh 1 Ogos lalu.
“Bukan tugas kami untuk mendengar kembali isu melibatkan keterangan dan fakta yang telah diputuskan panel terdahulu,” tegasnya.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Peter berhujah berlaku salah laksana keadilan kerana isu laporan polis itu tidak disentuh dalam penghakiman ringkas, sebaliknya hanya dalam penghakiman penuh.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menegaskan permohonan itu gagal melepasi ambang yang wajar dibenarkan kerana pihak pembelaan tidak pernah dihalang daripada membangkitkan isu tersebut pada prosiding terdahulu.
Peter didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022 kerana memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014 ketika menjadi Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd.
Beliau memalsukan surat sokongan Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bagi mendapatkan kontrak yang sebenarnya telah dianugerahkan kepada REMT Utama Sdn Bhd melalui tender terbuka.
Peter sebelum ini gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi pada April 2023, sebelum Mahkamah Rayuan turut menolak rayuannya pada Mac lalu.