Rayer Persoal Sikap Membisu PAS, Bersatu Berhubung Kontroversi Kibar Bendera Israel

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mempersoalkan tindakan pemimpin PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa berdiam diri berhubung insiden bendera Israel dikibarkan ketika program solidariti Palestin di Sungai Kelantan, kelmarin.

Menurut Rayer, sikap membisu itu menimbulkan persoalan sama ada ia disebabkan kejadian tersebut berlaku di negeri yang ditadbir pembangkang.

“Pembangkang terus senyap. Di mana PAS? Di mana Bersatu? Mengapa diam? Adakah kerana ia berlaku di Kelantan? Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Bayangkan jika perkara ini terjadi di Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan ketiadaan tindakan terhadap individu yang mengibarkan bendera Israel dalam program berkenaan, seolah-olah wujud layanan dua darjat.

“Pihak berkuasa mesti bertindak segera. Jangan ada dua darjat,” tegasnya.

Terdahulu, program “500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza” di Sungai Kelantan mencetuskan kontroversi apabila rakaman video bendera Israel dikibarkan tular di media sosial, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai.

Mengulas insiden itu, Pengarah Program, Mohd Khairul Hafiz Hassan menjelaskan bahawa pengibaran bendera tersebut hanyalah gimik visual bagi menggambarkan kekejaman rejim Zionis terhadap sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) dan penduduk Palestin.

Walau bagaimanapun, kejadian itu terus mencetuskan perdebatan mengenai sensitiviti simbolik dan keperluan tindakan tegas bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat.

BBerkaitan

Latest articles