Rayer Desak Tindakan Tegas Terhadap Mahasiswa Pijak al-Quran

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, tampil lantang menggesa agar tindakan undang-undang dikenakan terhadap seorang mahasiswa yang didakwa memijak al-Quran sehingga mencetuskan kemarahan ramai.

Menurut wakil rakyat DAP itu, Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama tidak boleh berkompromi dengan sebarang bentuk penghinaan terhadap mana-mana kepercayaan.

Tegasnya, perbuatan mencemuh, memperlekeh atau menghina agama lain adalah salah dan mesti ditangani secara tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Beliau menegaskan bahawa tindakan memijak kitab suci, lebih-lebih lagi milik agama lain, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Di Malaysia, setiap agama wajib dihormati oleh semua warganegara. Salah bagi sesiapapun untuk mencemuh, menghina atau memperlekeh mana-mana agama, apatah lagi agama orang lain.

“Perbuatan memijak mana-mana kitab suci, terutamanya milik agama lain, jelas salah dan tidak boleh diterima, justeru mesti ditangani dengan tegas oleh undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Rayer turut memuji langkah bapa mahasiswa berkenaan yang menyerahkan anaknya kepada polis sebaik isu berkenaan tular.

Katanya, tindakan tersebut wajar dicontohi kerana menghormati proses undang-undang dan mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang.

Terdahulu, seorang pelajar lelaki berusia 21 tahun dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah ditahan polis di Kuantan selepas imej yang didakwa menunjukkan dia memijak al-Quran tersebar di media sosial.

Pelajar itu kini direman sehingga 28 Februari bagi membantu siasatan berkaitan kesalahan melukakan perasaan agama, hasutan dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

BBerkaitan

Latest articles