KUALA LUMPUR – Belum hilang penat kejayaan menawan puncak Gunung Everest di Nepal dua hari lepas, pendaki solo negara, T. Ravichandran kini berazam lagi untuk menawan ‘bumbung dunia’ itu pada tahun depan.
Kali ini beliau akan melakukannya tanpa bantuan oksigen pada tahun depan.
Beliau yang lebih dikenali dengan nama Ravi Everest yang mengulangi sejarah menawan puncak dunia buat kali ketiga berkata pendakian kali ini amat berbeza apabila kegembiraan menaklukinya dapat dikongsi bersama pasukan terutama Elango.
“Pendakian kali ini agak berbeza kerana ia bukan lagi pendakian solo dan saya dapat berkongsi kegembiraan ketika di puncak bersama Elanghovan, saya dapat melihat mereka, tepuk bahu mereka dan titisan air mata kegembiraan ketika berada di puncak berbeza daripada pendakian solo sebelum ini,” katanya.
Ini merupakan pendakian ketiga Ravi Everest menawan puncak tertinggi dunia selepas 2006 serta 2007 dan pada pendakian kedua, beliau pernah berdepan cabaran menghidapi radang dingin di lapan jari tangannya.
Menurut Ravi lagi, Beliau pada mulanya sudah bersedia untuk membawa misi pendakian secara solo tanpa bantuan oksigen untuk menawan puncak gunung Everest kali ini.
“Namun, oleh kerana membawa tanggungjawab besar mengetuai ekspedisi berkumpulan iaitu seorang lagi rakan pendaki negara bersama kali ini, maka saya terpaksa mengambil serius mengenai aspek keselamatan dan menggunakan bantuan oksigen untuk ke puncak ‘bumbung dunia’.
Mengulas perjalanan ekspedisi itu, beliau memaklumkan pasukannya memulakan pendakian pada 2 Mei menuju ke khemah satu, khemah dua serta khemah tiga dan berhenti untuk berehat pada 5 Mei sebelum meneruskan pendakian dari 9 hingga 11 Mei sekali gus tiba di puncak pada 12 Mei.
Katanya beliau akan meneruskan misi pendakian Gunung Everest buat kali keempat tanpa menggunakan tong oksigen pada 1 April 2023.