Rasuah Urus Mayat, Penolong Pegawai Perubatan Hospital Temerloh Mengaku Tak Bersalah

KUALA LUMPUR: Seorang penolong pegawai perubatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh didakwa di Mahkamah Sesyen atas 12 pertuduhan menerima wang berjumlah RM3,350 berkaitan kerja pengurusan jenazah, sejak dua tahun lalu.

Moh Roffi Ab Rahman, 57, yang beralamat di Jerantut, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Beliau yang bertugas di Unit Perubatan Forensik HOSHAS didakwa menerima wang antara RM100 hingga RM800 pada 8 April 2021 hingga 3 Mac 2022 yang dimasukkan secara dalam talian ke akaun bank miliknya oleh dua individu yang terlibat dalam kerja pengurusan mayat dan jenazah.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu peguam bela Shahidah Muslimah Roslan merayu jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin yang ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan atas alasan tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga dengan pendapatan bersih RM2,500 sebulan.

“Tertuduh mempunyai lima orang anak dengan dua daripadanya adalah penghidap sakit kronik. Seorang anaknya meninggal dunia pada 14 Mac lepas akibat kanser manakala seorang lagi mempunyai sakit jantung yang memerlukan rawatan berkala.

“Tertuduh berkhidmat dengan jabatan awam sejak 1992 dan sepanjang tempoh itu, tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib selain turut menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak tiga kali,” katanya.

Shahidah berkata anak guamnya memberikan kerjasama penuh sejak ditangkap pada 7 Feb lalu dan adiknya yang akan menjadi penjamin juga merupakan kakitangan kerajaan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak Zamzani membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Nov ini sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Kamariah Seman.

BBerkaitan

Latest articles