Rasuah: Tiada Pengecualian, Pilih Bulu Terhadap Mana-mana Pihak

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa pihaknya tidak mengamalkan sikap ‘pilih bulu’ dalam usaha membanteras rasuah, termasuk melibatkan wartawan atau ahli politik.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tiada sebarang pengecualian diberikan kepada mana-mana individu yang terlibat dalam kes rasuah, selaras dengan undang-undang yang jelas mengenai jenayah tersebut.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penahanan seorang wartawan portal berita dalam talian di sebuah hotel di Shah Alam malam kelmarin, selepas disyaki meminta rasuah sebanyak RM20,000 daripada seorang ejen pekerja warga asing.

Menurut Azam, pihaknya mempunyai alasan kukuh untuk mempercayai wartawan berkenaan terlibat dalam rasuah selepas wang tunai RM20,000 ditemui bersamanya.

“Kami tidak mengambil tindakan sembarangan. Di bawah undang-undang rasuah, sesiapa sahaja yang menerima suapan sebagai balasan untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu tindakan adalah melakukan kesalahan rasuah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, SPRM mengesahkan penahanan wartawan tersebut bagi membantu siasatan dan menolak dakwaan bahawa ia ada kaitan dengan laporan pendedahan yang dibuatnya sebelum ini

Difahamkan, wartawan berkenaan ditahan reman selama empat hari selepas didakwa meminta dan menerima wang suapan RM20,000 bagi memadamkan satu laporan serta tidak lagi menulis tentang agensi pekerja asing yang dikaitkan dengan sindiket tertentu.

Sebelum ini, pada 22 Februari lalu melaporkan mengenai seorang bekas pegawai imigresen bergelar ‘Datuk’ yang didakwa sebagai dalang di sebalik kartel penyeludupan pekerja asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

BBerkaitan

Latest articles