Rasuah Adalah Musuh, Agong Ingatkan Tiada Ejen, Orang Tengah Dibenar Masuk Kementerian Pertahanan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberi peringatan tegas kepada Panglima Tentera Darat (PTD) yang baharu agar memastikan seluruh kepimpinan dan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) kekal berpegang kepada prinsip integriti serta amanah dalam setiap pelaksanaan tugas.

Seri Paduka Baginda bertitah, amalan rasuah dan salah guna kuasa merupakan ancaman paling besar terhadap kekuatan, imej serta kredibiliti angkatan pertahanan negara, justeru tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.

Sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sultan Ibrahim menegaskan bahawa budaya tadbir urus bersih dan telus perlu dipimpin dari peringkat atasan, dengan PTD sendiri tampil sebagai contoh terbaik kepada seluruh warga TDM.

Dalam titah yang dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Baginda turut mengulangi ketegasan terhadap kewujudan ‘orang tengah’ atau ejen di Kementerian Pertahanan yang disifatkan tidak sepatutnya diberi ruang kerana boleh membuka pintu kepada penyelewengan.

Pada masa sama, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar TDM terus diyakini rakyat sebagai sebuah angkatan profesional, berwibawa dan bebas daripada sebarang amalan rasuah demi mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Panglima Tentera Darat ke-31, Jeneral Datuk Azhan Md Othman di Istana Bukit Tunku.

Azhan dilantik secara rasmi berkuat kuasa 1 Januari lalu, selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November 2025 yang diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda pada 1 Disember 2025.

BBerkaitan

Latest articles