KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengesahkan beliau antara individu yang pernah mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak berundur pada Mei 2018, susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Bagaimanapun, beliau menegaskan perbezaan pandangan dalam parti adalah perkara biasa dan tidak pernah menghakis rasa hormat serta penghargaan terhadap pemimpin yang pernah berjasa.
Menurut Akmal, beliau kekal menghormati Najib sehingga hari ini walaupun bekas Presiden UMNO itu tidak lagi memegang sebarang jawatan atau kuasa.
Katanya, keadaan itu berbeza dengan segelintir pihak yang sebelum ini begitu kuat ‘mengampu’, tetapi kini menghilang apabila Najib tidak lagi berpengaruh.
“Itulah bezanya bercakap benar tetapi tetap hormat, dengan pencacai yang hanya mencari makan,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook.
Sejak semalam, hantaran lama beliau yang mendesak Najib berundur kembali tular di media sosial.
Malah, ada pihak menggunakan semula kenyataan itu untuk menggambarkan kononnya beliau tidak jujur dalam mempertahankan Najib, termasuk dalam isu titah adendum yang sedang diperkatakan ketika ini.










