PORT DICKSON: Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup menjadi calon mewakili Parti Barisan Penyatuan Nasional (BPN) bagi kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sekiranya menang, Abdul Rani berhasrat menyelesaikan isu veteran dan mewujudkan sebuah Perkampungan Veteran Lestari.
Pesara tentera yang berusia 67 tahun dan berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu memaklumkan bahawa keputusannya menyertai politik selepas 22 tahun berjuang membawa suara rakyat melalui platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Saya hendak bertanding demi rakyat di Port Dickson supaya dapat mengangkat saya dan mengundi untuk dibawa ke Parlimen sekali gus mendapatkan kuasa demi membantu rakyat di sini. Sekiranya saya menang dan mempunyai kuasa nanti saya boleh menyelesaikan masalah.
“Saya pilih Port Dickson kerana tiada kawasan lain untuk bertanding, jikalau boleh 222 kerusi Parlimen saya hendak bertanding. Saya ikhlas untuk membantu kerana memikirkan rakyat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Jelasnya, beliau telah berkhidmat sejak 1973 hingga 1995 dalam tentera selama 22 tahun perkhidmatan dan jawatan terakhir sebagai Rejimental Sarjan Mejar di Kementerian Pertahanan.
Pada tahun lalu, Abdul Rani dilaporkan menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan berhasrat untuk bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak.