Rangka Manusia Lengkap Berpakaian Ditemui Di Kebun Getah

BALING: Seorang penoreh getah dikejutkan dengan penemuan rangka manusia yang masih lengkap berpakaian di kebun getah Kampung Padang Besar, Kuala Ketil, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan itu kira-kira jam 11 pagi.

“Selain rangka, penoreh turut menjumpai sebuah motosikal jenis SYM berwarna biru dengan nombor pendaftaran KDS 5236, kira-kira 25 meter dari lokasi mayat.

“Rangka berkenaan ditemui dalam keadaan terlentang dengan kakinya berada di atas sebuah tin kosong berwarna putih, manakala sebilah pisau turut ditemukan di sebelah kiri si mati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Salimi, siasatan lanjut mendapati terdapat laporan orang hilang dibuat oleh isteri mangsa pada 29 Ogos lalu.

“Isteri memaklumkan suaminya keluar rumah sejak 24 Ogos dan tidak pulang sehingga kini. Pengecaman mayat dilakukan oleh isteri dan anak tiri si mati berdasarkan pakaian serta motosikal yang ditemui,” jelasnya.

Rangka manusia itu telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

BBerkaitan

Latest articles