TELUK INTAN: Penemuan mengejutkan rangka manusia dan tengkorak bersama seekor anjing peliharaan di sebuah rumah kayu dua tingkat di Jalan Sungai Nibong dipercayai milik anak bongsu kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Wah Keng Jooi.
Mangsa, lelaki berusia 75 tahun yang tinggal bersendirian, dipercayai meninggal dunia di tingkat atas rumah pusaka keluarganya tanpa disedari sesiapa.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, penemuan itu dibuat selepas abang mangsa yang berusia 78 tahun datang melawat pada Sabtu lalu sekitar jam 11 pagi dan terhidu bau busuk dari bahagian atas rumah.
“Abang mangsa cuba naik ke tingkat atas, namun gagal kerana struktur tangga kayu yang reput dan tidak selamat. Dia kemudian membuat laporan polis pada jam 2.24 petang hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan laporan, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dengan bantuan anggota bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan awal menemukan tengkorak dan rangka manusia bersama bangkai anjing serta beberapa barangan peribadi milik mangsa di tingkat atas rumah tersebut,” jelasnya.
Mangsa dilaporkan telah menetap seorang diri di rumah berkenaan sejak sekian lama.
Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat.
Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Bedah siasat masih belum dijalankan kerana pihak kami sedang menunggu kehadiran pakar forensik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh,” tambah Bakri.
Kes masih dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.