KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan penemuan satu rangka manusia di sebuah ladang kelapa sawit di Ladang Bukit Besout, Jalan Kuala Slim, Slim River, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 5.13 petang yang memaklumkan tentang penemuan rangka itu ketika dalam perjalanan menuju ke kebun berhampiran.
“Hasil siasatan di lokasi kejadian bersama bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) membawa kepada penemuan hampir keseluruhan rangka manusia, kecuali kedua-dua tapak tangan yang masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rangka berkenaan telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti identiti dan punca kematian.
Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan rasmi bedah siasat.
Sehubungan itu, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga, saudara-mara atau kenalan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Raja Nabila Raja Abdul Samad di talian 012-2854320 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim di 05-4528222.