Ramli: Ini Pengiktirafan Kepada Masyarakat Orang Asli

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor berjanji akam melaksanakan tugas sebagai Timbalan Speaker jika diberikan amanah mempengerusikan sidang Dewan Rakyat selepas ini.

Ramli dalam masa yang sama berkata peluang diberi kepadanya pada petang semalam merupakan satu pengiktirafan kepada masyarakat Orang Asli di negara ini.

“Atas arahan pengerusi majlis (Speaker) Dewan Rakyat untuk menjalankan tugas sebagai Timbalan Speaker semalam, satu pengiktirafan badan perundangan negara kepada Orang Asli Semenanjung.

“Mampu melaksanakan tugas sebagai Timbalan Speaker bagi memastikan perjalanan majlis mesyuarat Dewan Rakyat berjalan lancar. Parlimen adalah ruang yang mana semua permasalahan rakyat dapat dibincang oleh wakil rakyat mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Ramli turut mengucapkan terima kasih kepada BN atas kepercayaan mencalonkan namanya sebelum ini.

“Saya berjanji akan melaksanakan tanggungjawab ini sebaiknya dengan penuh berintegriti dan saksama atas prinsip kebebasan bersuara dan keperluan berhemah semasa membincangkan sebarang usul demi kepentingan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Ramli pada semalam mempengerusikan sesi sebelah petang sidang Dewan Rakyat selepas mendapat arahan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Barisan Nasional (BN) sebelum ini menamakan Ramli untuk mengisi jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang kosong selepas penyandang terdahulu, Datuk Seri Azalina Othman Said meletak jawatan pada 23 Ogos tahun lalu.

Semalam, usul untuk mengisi satu lagi jawatan Timbalan Speaker itu ditangguhkan sekali lagi.

BBerkaitan

Latest articles