Ramkarpal Pertikai Pemecatan Serta-Merta Pegawai PTD, “Tiada Sabitan, Kenapa Pecat?”

KUALA LUMPUR: Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh, mempersoalkan keputusan pemecatan serta-merta seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat kesihatan di Chow Kit baru-baru ini, sambil menyifatkan langkah itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, tindakan drastik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu tidak selari dengan Artikel 135(2) Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak mana-mana penjawat awam untuk diberi peluang membela diri sebelum tindakan tatatertib seperti buang kerja atau turun pangkat boleh dikenakan.

“Tiada bukti menunjukkan pegawai tersebut termasuk dalam mana-mana pengecualian yang membolehkan pemecatan serta-merta, seperti sabitan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.

Ramkarpal menegaskan bahawa kementerian tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya tanpa memberi ruang kepada pegawai itu mengemukakan representasi bertulis atau menghadiri pendengaran lisan.

“Ini bukan prosedur yang wajar. Keputusan seperti ini tidak boleh dibuat secara arbitrari,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa pegawai PTD yang berkhidmat di Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi diarahkan meletakkan jawatan serta-merta selepas ditahan dalam serbuan di sebuah sauna lelaki.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, memaklumkan bahawa tindakan itu diambil selepas Unit Integriti KPT memulakan siasatan dalaman mengikut peraturan perkhidmatan.

Bagaimanapun, Ramkarpal menekankan bahawa tiada seorang pun daripada individu yang ditahan dalam serbuan tersebut telah didakwa atau disabitkan atas sebarang kesalahan.

Katanya, tindakan tergesa-gesa seperti ini boleh mencetuskan keadaan di mana penjawat awam berisiko dibuang kerja tanpa proses undang-undang sewajarnya dilalui.

“Isu ini berkait rapat dengan kedaulatan undang-undang dan prinsip keadilan yang menjadi asas sistem demokrasi. Kerajaan perlu memastikan proses ini dihormati pada setiap masa,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles