KUALA LUMPUR: DAP Pulau Pinang tidak menolak wujud krisis dalaman parti sehingga ada beberapa nama penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lagi dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Bahkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof P. Ramasamy juga mendakwa partinya itu hanya menggunakan alasan ‘rejuvenasi’ untuk mengaburi krisis dalaman parti itu dalam kalangan penyokongnya.
Ini termasuklah usaha menyingkirkan penyokong Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, dakwa Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu lagi.
Ramasamy, dalam masa yang sama memaklumkan dirinya akur dengan keputusan parti menggugurkannya sebagai calon.
“Semalam sebelum pengumuman calon, saya ada jumpa Setiausaha Agung, Anthony Loke dan Nga Kor Ming. Mereka memberi alasan peringkat pusat memutuskan untuk melaksanakan rejuvenasi membawa orang muda atau meremajakan parti untuk kekal relevan.
“Saya terima jika ia membabitkan calon seperti saya, Chong Eng (Pangkalan Kota) serta Phee Boon Poh (Sungai Puyu) yang mana rata-rata sudah berusia 60an hingga 70 an.
“Tetapi kenapa situasi sama dihadapi M. Satees (Bagan Dalam); Soon Lip Chee (Bagan Jermal) dan Yeoh Soon Hin (Paya Terubong)? Sedangkan mereka baru berusia 30an hingga 40an,” katanya memetik laporan MalaysiaGazette hari ini.
Ramasamy juga mendakwa sebilangan pihak di dalam parti tidak menolak dakwaan masih wujud gerakan menjatuhkan Kon Yeow memandangkan rata-rata ADUN yang digugurkan itu pernah menyatakan sokongan terhadap ketua menteri.
“Ada usaha khususnya dalam DAP Pulau Pinang memberi peluang kepada mereka (calon) yang memihak kepada satu kumpulan lain.
“Kira ada isu kem dalam DAP di negeri ini,” katanya.
Semalam Anthony Loke mengumumkan 19 calon DAP yang akan bertanding pada PRN negeri itu dan mereka terdiri daripada 12 penyandang manakala tujuh calon muka baharu.
Tujuh penyandang yang telah digugurkan iaitu P. Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II (Perai); M. Satees (Bagan Dalam); Phee Boon Poh (Sungai Puyu); Soon Lip Chee (Bagan Jermal); Lee Chun Kit (Pulau Tikus); Chong Eng (Pangkalan Kota) dan Yeoh Soon Hin (Paya Terubong).
Manakala Lim Guan Eng kekal mempertahankan kerusinya di DUN Air Putih.