Ramalan BN Ketinggalan PRU15 Strategi Pembangkang Tarik Pengundi Atas Pagar – PM

BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengingatkan agar rakyat tidak terpengaruh dengan laporan kajian bebas mengenai kedudukan kerusi parti bertanding Pilihan Raya Umum ke-15, PRU15 yang tular di media sosial.

Beliau berkata, sebaran kajian melalui media sosial merupakan strategi parti yang bertanding untuk mempengaruhi para pengundi atas pagar.

“Jadi sebab itu bagi saya, jangan kita terpengaruh, ini merupakan psy war (perang saikologi) daripada parti pembangkang untuk menarik golongan atas pagar yang masih belum membuat keputusan.

“Apabila melihat seolah-olah mereka (parti pembangkang) menang, jadi akhirnya (pengundi atas pagar akan cenderung ke arah mereka,” katanya ketika ditemui di Dewan Orang Ramai Mengkarak Station di sini hari ini.

Beliau yan juga calon BN bagi parlimen Bera itu berkata, hasil tinjauan berkaitan bilangan pecahan kerusi-kerusi yang bakal dimenangi parti-parti bertanding dalam PRU15 sebenarnya bergantung kepada kecenderungan pihak yang menjalankan kajian itu.

“Setiap parti ada engaged dengan syarikat yang membuat survey, jadi kalau dia dibayar oleh parti yang berkaitan maka laporannya akan ke arah parti berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut menyeru orang ramai agar tidak mudah percaya dengan propaganda yang dimainkan pihak pembangkang dan kekal menyokong BN.

Sebelum ini, tular kajian dapatan badan penyelidik yang mengatakan BN kini ketinggalan dalam memenangi kerusi berbanding parti-parti bertanding seterusnya memberi bayangan gabungan parti itu bakal kalah pada PRU15.

BBerkaitan

Latest articles