KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan kebimbangannya terhadap penglibatan remaja sekolah dalam aktiviti berkaitan kumpulan pengganas selepas enam individu termasuk tiga pelajar bawah umur ditahan dalam operasi khas polis baru-baru ini.
Beliau berkata, pendedahan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi petunjuk wujudnya pengaruh serta pendedahan salah yang mampu menjerumuskan golongan muda ke arah fahaman keganasan.
Menurut Anwar, perkembangan membimbangkan itu menunjukkan ada remaja belasan tahun yang sudah mula terlibat dalam persiapan aktiviti berkaitan keganasan.
“Baru-baru ini sahaja muncul anak-anak sekolah, belasan tahun pun terlibat dalam persiapan kegiatan ke arah keganasan seperti diumumkan Ketua Polis Negara. Ini menunjukkan anak-anak kita menerima didikan dan pendedahan yang salah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sebelum ini, Mohd Khalid mendedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menggagalkan cubaan menghidupkan semula ideologi kumpulan pengganas Daesh melalui penahanan enam remaja dalam satu operasi khas.
Menurut beliau, kesemua suspek yang berusia antara 16 hingga 21 tahun itu ditahan dalam operasi selama dua hari bermula 14 Februari lalu oleh Cawangan Khas di beberapa lokasi termasuk di Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mengambil sikap terlalu selesa terhadap keamanan yang dinikmati ketika ini.
Katanya, negara perlu terus berwaspada kerana terdapat pihak luar yang berpotensi cuba mencampuri urusan politik dan keselamatan negara.
“Jangan kita ambil sikap selesa. Budaya complacency atau terlalu berpuas hati boleh menyebabkan kita leka.
“Badan pertahanan kita sentiasa bersiap siaga kerana ada rencana luar yang cemburu dan mahu campur tangan dalam urusan politik kenegaraan kita,” tegasnya.










