Ramai Lagi Pemimpin UMNO Senada Dengan Musa Desak Zahid Berundur

Lebih ramai pemimpin UMNO di peringkat negeri dan bahagian akan mendesak pengunduran Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menjaga integriti parti itu sendiri.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata situasi itu mungkin berlaku selepas kritikan daripada bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam berhubung pendakwaan yang dihadapi pemimpin parti di mahkamah.

Pandangan Musa, menurut Kamarul tidak boleh dipandang ringan kerana beliau masih mempunyai pengaruh yang kuat.

“Saya jangkakan akan ada banyak pihak dalam UMNO sendiri yang selepas ini akan lebih berani bersuara. Ia juga disebabkan liputan kes mahkamah Zahid, yang secara tidak langsung dilihat memberi imej negatif buat Umno,” katanya memetik FMT.

Terdahulu, untuk menyelamatkan UMNO, Musa berkata parti perlu mengambil sikap berprinsip dan meminta pemimpin yang menghadapi tuduhan jenayah untuk berundur sehingga mereka terbukti tidak bersalah.

Ia bertujuan supaya UMNO terus dihormati dan memperoleh kepercayaan pengundi, lebih-lebih lagi dalam mendepani pilihan raya umum akan datang.

Untuk rekod, selain Zahid, beberapa pemimpin UMNO yang sedang menghadapi pendakwaan di mahkamah adalah Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Shahrir Samad dan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Lonjakan pengunduran Zahid juga boleh berlaku apatah lagi komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC juga dilihat tidak senada dalam beberapa perkara, kata Kamarul.

Kamarul turut tidak menolak kemungkinan

ada usul-usul tergempar yang dibawa pemimpin UMNO di peringkat negeri atau bahagian ke perhimpunan agung parti, menggesa Zahid melepaskan jawatannya.

“Cuma, masalahnya, Zahid sebagai presiden, mempunyai kuasa menolak atau menerima usul,” kata beliau.

Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh kini berdepan 47 pertuduhan di mahkamah termasuk pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi, yang ditubuhnya sendiri.

Bukan itu sahaja, Kamarul turut percaya perbalahan dalaman kalangan pemimpin UMNO akan berterusan sehinggalah perhimpunan agung parti akhir bulan ini, yang dilihat menyukarkan lagi proses kesatuan dalam parti.

BBerkaitan

Latest articles