Ramai Bekas Ahli Mahu ‘Pulang’ Ke UMNO

KUALA LUMPUR: UMNO kini menerima permohonan daripada individu dan kumpulan yang mahu kembali bersama parti, namun keputusan muktamad hanya akan dibuat berdasarkan kerangka yang ditetapkan oleh kepimpinan tertinggi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, jumlah permohonan yang diterima amat menggalakkan, tetapi parti mengambil pendekatan berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan.

“Memang ramai yang memohon. Sebab itu kita menunggu resolusi daripada Perhimpunan Agung UMNO untuk menentukan hala tuju seterusnya,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut beliau, gagasan ‘Rumah Besar’ yang diketengahkan Presiden UMNO bertujuan membuka ruang penyatuan lebih luas, seiring perubahan landskap politik semasa yang menuntut kerjasama dan keterbukaan.

Mengulas pengalaman UMNO di Sabah, Asyraf berkata parti tidak boleh terlalu selesa dengan angka keahlian semata-mata walaupun masih menerima sokongan undi yang memberangsangkan.

“Kita tidak boleh hanya lihat jumlah ahli. Yang lebih penting ialah sokongan sebenar rakyat ketika pilihan raya,” katanya.

Beliau menegaskan UMNO sejak awal merupakan parti sederhana dan progresif yang berpengalaman mengurus kepelbagaian kaum dan agama secara harmoni.

“Sejak negara ini dibentuk, UMNO sedar Malaysia bukan milik satu kaum atau satu agama sahaja,” katanya.

Tambah beliau, usaha memperkukuh parti bukan sekadar untuk kekal relevan, tetapi bagi memastikan UMNO terus mendapat kepercayaan rakyat dan berupaya menambah bilangan kerusi dalam pilihan raya akan datang.

BBerkaitan

Latest articles