FELDA RAJA ALIAS – Program Ihya Ramadan yang berlangsung di Dewan Terbuka Masjid Imam As Syafie di sini berlangsung dalam suasana penuh kesyukuran apabila menghimpunkan masyarakat setempat bagi majlis berbuka puasa dan solat sunat tarawih berjemaah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Dato’ Haji Mustapha Nagoor atau lebih dikenali sebagai Pak Mus, meluangkan masa bersama warga Gugusan Raja Alias untuk memeriahkan program berkenaan.
Majlis dimulakan dengan berbuka puasa secara sederhana sebelum diteruskan dengan solat Maghrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah. Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat jelas menggambarkan semangat perpaduan dan keakraban yang terus subur sepanjang Ramadan.
Seusai solat Maghrib, Pak Mus turut menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf sebagai tanda keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan.
Beliau berharap sumbangan itu dapat meringankan beban penerima serta menyemarakkan kegembiraan dalam menyambut Ramadan.
“Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi medan untuk memperkukuh silaturahim dan memupuk nilai empati dalam masyarakat,” katanya.
Program berakhir dengan moreh dalam suasana tertib dan harmoni, sekali gus menghidupkan penghayatan Ramadan di peringkat komuniti setempat.










