More

    Rakyat Sedang Tanggung Beban Berat, Cadangan Keluar Duit KWSP Pasti Beri Nafas Lega

    Bermacam-macam reaksi dan pendapat diterima dari netizen dan orang ramai berhubung cadangan untuk kerajaan membenarkan pengeluaran dari akaun 1 sebanyak RM10,000 secara one-off untuk menampung kesukaran kewangan mereka yang pekerjaan mereka terjejas dek pandemik COVID-19.

    Walauapapun reaksinya, ramai rakyat sedang menanggung beban yang tak tertanggung sekarang ini.

    Pada 26 Oktober 2020, Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat cadangan untuk pengeluaran berkenaan kerana ia bertujuan membantu rakyat yang terjejas bagi kegunaan mendesak iaitu membayar komitmen hutang bulanan dan mungkin bayaran yang sudah tertunggak.

    Perlu diingat, pada masa sekarang, bank sudah tidak menjalankan kutipan hutang sendiri dan kebanyakan sudah mengupah syarikat pengutip hutang untuk menjalankan kerja-kerja menuntut balik bayaran ini.

    Rata-ratanya syarikat pengutip hutang ini tidak lah begitu berbudi bahasa modus operandi mereka. Malah, ada yang lebih kasar dari Ah Long dan juga ada yang sehingga menghantar orang ke rumah dan membuat kacau untuk menuntut peminjam membayar hutang.

    Perkara begini yang akan membuatkan tekanan perasaan lebih-lebih lagi para suami yang sudah hilang pekerjaa, disuruh mengambil cuti tanpa gaji, atau gaji dipotong ketika berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal dulu pada Mac yang berlarutan selama tiga bulan.

    Walaupun sudah dijelaskan duit tidak ada untuk membayar hutang, syarikat pengutip hutang yang menelefon tidak peduli akan masalah yang dihadapi malahan ada yang berkata “Itu bukan masalah kami, encik perlu buat bayaran,” kata mereka dengan gaya memaksa dan kurang ajar.

    BACA JUGA – Pengeluaran Akaun 1 KWSP, Najib Tegaskan Rakyat Ada Hak

    Hutang yang diberikan moratorium sebelum ini ialah hutang yang tidak tertunggak.

    Bagaimana pula dengan mereka yang mula menjelaskan hutang yang tertunggak kemudian hilang pekerjaan sekali lagi. Beban ini yang tidak tertanggung.

    Difahamkan, kini banyak syarikat pinjaman wang berlesen atau Ah Long ini gigih mendekati orang ramai untuk memberikan pinjaman mudah dengan bunga yang tinggi kononnya untuk dibantu tapi kemudian diburu.

    Pasti sejak PKP pada sejak bulan Mac lepas, sudah ramai yang mula menggunakan wang simpanan kecemasan dan gadai barang kemas semata-mata untuk mendapatkan duit untuk digunakan bayar hutang dan berbelanja barangan keperluan seharian.

    Ramai juga yang sudah kehabisan wang simpanan, selepas kembali bekerja beberapa minggu, apabila Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya dikenakan PKP Bersyarat (PKPB) semula, mereka ini kembali terjejas atau bahasa lebih betul, menderita.

    Pada 31 Oktober lepas, 2,000 orang kakitangan syarikat penerbangan Malindo Airways (Malindo) telah diberhentikan kerja. Apabila diberhentikan kerja, bermaksud, gaji bulanan pun tak masuk.

    Dengan keadaan pandemik melanda negara, orang lain pun kerja tak menentu, bagaimana mereka ini dan mereka yang lain yang sudah tak bekerja hendak cari kerja baru, hampir mustahil untuk dapat.

    Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam reaksinya kepada cadangan Najib itu menyatakan bahawa sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang akaun 1 KWSP kerana dikatakan rakyat akan menghadapi masalah lebih besar pada masa depan.

    Ada juga pihak yang mengatakan, KWSP akan mengalami kekurangan dana yang besar jika pengeluaran itu dibenarkan.

    Difahamkan jika dibenarkan pun, ia akan melibatkan 4.57 juta orang pencarum yang membuat pengeluaran skim i-Lestari dan jika RM10,000 setiap pencarum, jumlahnya akan RM45.7 bilion.

    BACA JUGA – BN Sokong Belanjawan 2021

    Mungkin tidak semuanya layak dan mungkin ada yang enggan mengeluarkan duit mereka dari KWSP.

    RM45.7 bilion adalah sebahagian 4.9 peratus daripada jumlah aset KWSP iaitu RM929.64 bilion pada 30 Jun 2020.

    Apa sahaja alasan pun, wang yang disimpan sebahagian dari gaji pekerja melalui caruman ada dalam jumlah yang besar di KWSP dan ia boleh membantu rakyat meringankan beban yang tak tertanggung sekarang ini.

    Dengan hendak menghadap panggilan syarikat pengutip hutang serta mengurut kepala setiap hari serabut memikirkan cara untuk mencari duit.

    Jika pengeluaran KSWP dari akaun 1 ini dibenarkan, pasti ramai yang lega dan mampu berfikir dengan tenang untuk masa depan sementara sebahagian beban hutang dah diselesaikan dengan wang yang dikeluarkan tadi.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini