Rakyat Sarawak Beruntung Dapat Pemimpin Berintegriti, Adil

KUCHING: Meskipun rakyat Sarawak terdiri dalam kalangan pelbagai kaum, agama dan keturunan, namun mereka dianggapbertuah kerana mempunyai pemimpin yang mengamalkan integriti dan berlaku adil.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, apabila diberikan tanggungjawab, kerajaan perlu berlaku adil kepada semua rakyat.

“Selaku Ketua Menteri, saya berlaku adil kepada semua rakyat kerana jika tidak, sudah pasti saya akan disoal. Kita bukan hanya membantu masyarakat Islam tetapi mereka yang bukan Islam turut kita bantu. Sebab itu, kita ada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR),” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Integriti Kepimpinan Masjid dan Surau Bahagian Sri Aman yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), semalam.

Abang Johari memberi contoh bagaimana agama-agama lain yang dianuti oleh rakyat Sarawak tidak dipinggirkan, dengan membantu masyarakat bukan Islam membina rumah ibadat mereka. 

Baru-baru ini katanya, beliau telah melawat Sungai Asap sekali gus melihat keadaan gereja yang dibangunkan oleh masyarakat Kristian di sana.

“Di situ, saya bantu mereka dengan peruntukan RM10 juta daripada kerajaan untuk pembinaan gereja itu,” ujarnya.

Dengan peruntukan yang diberikan ini katanya, jelas membuktikan kerajaan berlaku adil dan saling bantu antara satu sama lain meskipun rakyatnya terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

“Kita tidak bergaduh sesama sendiri. Itu yang kita nikmati di Sarawak. Dan saya yakin dengan kepimpinan yang adil, masyarakat kita yang beragama Islam dan bukan Islam dapat hidup dalam keadaan yang tenteram,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles