Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan Sabah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal gagal menyediakan pelan strategik untuk membangunkan rakyat dan negeri itu dalam pelbagai sektor.
Menerusi satu hantaran di Facebooknya, hari ini, Najib mengambil contoh bagaimana tindakan kerajaan negeri membatal dan melewatkan beberapa projek di Sabah, seperti Lebuhraya Pan Borneo yang menyebabkan negeri itu berdepan dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.
Dalam tempoh 8 tahun sebelum kerajaan Sabah bertukar tangan pada PRU14, kadar pertumbuhan ekonomi Sabah adalah lebih…
Gepostet von Najib Razak am Samstag, 1. August 2020
Malah Najib mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri menganugerahkan projek baru kepada syarikat kroni, seperti contoh Empangan Papar yang bernilai RM3 bilion yang didakwa diberikan kepada syarikat kroni berkaitan syarikat terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Begitu juga beberapa lagi projek turap jalan yang diberikan secara rundingan terus kepada beberapa syarikat termasuk yang mempunyai kaitan dengan kes rasuah Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter Anthony.
Kesal dengan hal itu, Najib mengambil contoh bagaimana ekonomi Sabah membangun dengan positif ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum gabungan itu tewas pada PRU14 yang lalu.
“Misalnya pada 2017, kadar Sabah adalah 8.2%, iaitu paling tinggi antara semua negeri dan lebih tinggi berbanding kadar 5.9% bagi seluruh Malaysia.
“Pada 2016, Sabah mencatatkan pertumbuhan 4.7% berbanding kadar 4.2% untuk Malaysia.
“Secara am, ekonomi Sabah berkembang pada kadar lebih pesat berbanding purata untuk negeri-negeri lain sebelum parti Warisan mengambil alih.”
Ujarnya ‘rekod baik’ Sabah terus menjunam ketika Shafie mula mengambil alih pentadbiran kerajaan susulan kemenangan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Pada 2018, kadar pertumbuhan Sabah jatuh ke 1.5%, iaitu paling rendah antara semua negeri dalam Malaysia, paling rendah sejak 10 tahun yang lalu dan lebih rendah berbanding kadar pertumbuhan 4.7% Malaysia.
“Ini bermakna Sabah semakin ketinggalan berbanding negeri lain bermula tahun 2018,” katanya.