KOTA KINABALU: Ketua Menteri Interim Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan keputusan kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak 40 peratus hasil Sabah sebagai langkah bersejarah yang mencerminkan keikhlasan dan komitmen Perdana Menteri terhadap rakyat negeri itu.
Menurut Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu, tindakan berani Anwar menunjukkan beliau benar-benar memahami aspirasi rakyat Sabah dan menghormati hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya telah nyatakan pendirian tegas bahawa hak perlembagaan Sabah mesti dihormati, diiktiraf dan dilaksanakan.
“Keputusan ini membuktikan hubungan kukuh antara kerajaan negeri pimpinan GRS dan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara memaklumkan bahawa Mesyuarat Khas Jemaah Menteri bersama Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, memutuskan untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Keputusan itu sekali gus membuka jalan kepada rundingan rasmi antara kerajaan Persekutuan dan Sabah yang akan dimulakan segera bagi meneliti pelaksanaan semakan semula pemberian khas hasil tersebut.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil persekutuan selama hampir lima dekad.
Hakim Celestina Stuel Galid dalam penghakimannya turut mengisytiharkan bahawa pemberian khas yang dibuat sebelum ini adalah tidak sah, ultra vires dan tidak rasional, sekali gus menyalahi Perlembagaan.
Mengulas lanjut, Hajiji menegaskan bahawa kerajaan negeri kini bersedia untuk berunding secara konstruktif dengan kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan keputusan mahkamah berkenaan.
“Rakyat Sabah sudah menunggu terlalu lama. Apa yang diperlukan sekarang ialah tindakan tegas dan kemahuan politik yang tulen untuk menunaikan hak 40 peratus itu,” tegas beliau.










