Rakyat Malaysia Terperangkap Banjir Di Hatyai Digesa Hubungi Konsulat, Kekal Di Hotel

HATYAI: Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menggesa semua rakyat Malaysia yang terperangkap akibat banjir di Hatyai dan kawasan sekitar supaya segera menghubungi pihak konsulat untuk mendapatkan bantuan pemindahan dan keselamatan.

Konsul Jeneral, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, kebanyakan rakyat Malaysia dilaporkan terkandas di hotel sekitar bandar tersebut, susulan paras air yang meningkat dan menyukarkan pergerakan.

Pihaknya menasihatkan mereka kekal berada di kedudukan selamat atau bergerak ke kawasan lebih tinggi sementara menunggu bantuan daripada pihak berkuasa Thailand.

Menurut beliau, Konsulat Jeneral kini bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan Thailand untuk membantu mengesan rakyat Malaysia dan memindahkan mereka ke pusat perlindungan sementara jika perlu.

“Kita belum mempunyai angka tepat, tetapi mereka yang memerlukan bantuan diminta segera menghubungi konsulat supaya kita dapat mengesan kedudukan mereka,” katanya memetik Berita Harian.

Setakat tengah hari, Hatyai masih dilanda banjir dengan hampir semua laluan utama tidak dapat dilalui kenderaan.

Ahmad Fahmi turut memaklumkan terdapat kemungkinan jalan menuju ke sempadan Thailand-Malaysia terputus akibat dinaiki air, walaupun pintu sempadan masih beroperasi seperti biasa.

“Kita dimaklumkan hujan dijangka berterusan sepanjang hari ini, namun keadaan cuaca dijangka pulih bermula Ahad atau Isnin, sebelum air mula surut,” tambahnya.

Banjir besar yang melanda selatan Thailand sejak awal minggu telah menjejaskan hampir 360,000 penduduk di 48 daerah, melibatkan lapan wilayah termasuk Phatthalung, Satun dan Songkhla yang sering menjadi tumpuan pelancong dari Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles