KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu pada Rabu menasihatkan semua rakyat Malaysia di ibu negara Nepal itu supaya kekal berada di dalam rumah sehingga diberitahu kelak, susulan lanjutan perintah berkurung oleh kerajaan negara itu.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook, kedutaan memaklumkan pihak berkuasa Nepal telah melanjutkan perintah berkurung sehingga pukul 6 pagi Khamis (11 Sept), manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan akan kekal ditutup sehingga pukul 6 petang, Rabu.
“Semua rakyat Malaysia di Kathmandu dinasihatkan kekal berada di dalam rumah sehingga keadaan kembali pulih,” kata kenyataan itu.
Mereka yang memerlukan bantuan konsul boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Kathmandu melalui talian +977-1-5445680 atau 980 100 8000, atau e-mel [email protected].
Sementara itu, rakyat Malaysia yang menaiki penerbangan Nepal Airlines dan terjejas akibat penutupan lapangan terbang diminta menghubungi syarikat penerbangan itu secara terus bagi urusan penjadualan semula penerbangan.
Bagi tempahan antarabangsa, penumpang boleh menghubungi syarikat penerbangan melalui talian 9843647125, 9841962064, atau 9851055357.
Bagi urusan berkaitan jualan tiket antarabangsa, Nepal Airlines boleh dihubungi menerusi nombor 9851062802, 9849830904, atau 9844540277.
Kedutaan turut mengingatkan rakyat Malaysia agar terus berwaspada, kekal berada di dalam rumah dan memantau pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa tempatan.
Dalam perkembangan terbaharu, Tentera Nepal telah menguatkuasakan “perintah larangan” ketika keadaan masih tegang pada Rabu, sehari selepas protes besar-besaran yang menggulingkan kerajaan Perdana Menteri KP Sharma Oli, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik sebuah akhbar tempatan.
Sekurang-kurangnya 20 penunjuk perasaan, kebanyakannya golongan belia, terbunuh manakala hampir 350 lagi cedera sejak Isnin lepas apabila protes tercetus susulan larangan penggunaan media sosial oleh kerajaan. – BERNAMA