Rakyat Mahukan Keyakinan Sistem Perundangan Negara, DAP Mahu Idrus Buat Penjelasan Kes Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: DAP menegaskan ia menghormati proses dan keputusan mahkamah, terutama dalam kes membabitkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi, semalam.

Bagaimanapun menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, adalah penting untuk bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk membuat penjelasan secara terbuka berkenaan keputusan tersebut bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap proses undang-undang di negara ini.

“DAP menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun demi prinsip keadilan dan akauntabiliti, Tan Sri Idrus Harun harus memberikan penjelasan terbuka berkenaan faktor yang mendorong kepada keputusan tersebut.

“Penjelasan ini adalah penting untuk memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Anthony, parti pimpinannya akan sentiasa menjunjung prinsip pengasingan kuasa di antara cabang kehakiman, eksekutif dan legislatif.

DAP juga akan sentiasa memastikan tidak ada campur tangan eksekutif dalam sebarang kes mahkamah.

Untuk rekod, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada semalam melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid.

Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan AGC, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar sebelum itu memberikan 11 alasan bagi menyokong permohonan agar Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan bagi kesemua pertuduhan.

Alasan itu termasuk pihak pendakwaan perlu mengkaji keterangan saksi-saksi pada perbicaraan itu serta bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut terhadap bukti baharu yang dikemukakan Ahmad Zahid.

Alasan lain menyentuh isu yang dibangkitkan dalam representasi bahawa pendakwaan dibuat secara cuai dan terburu-buru serta beliau menjadi mangsa pendakwaan terpilih kerajaan terdahulu.

April lalu, Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri mengemukakan representasi kepada AGC mengandungi fakta dan bukti baharu dalam usaha menggugurkan 47 pertuduhan itu.

Representasi melebihi 200 muka surat yang dihantar terus kepada Idrus yang mengandungi asas untuk pertimbangan agar pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid digugurkan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk dan Timbalan Perdana Menteri itu didakwa antaranya menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles