Rakyat Jadi Keutamaan Dalam Belanjawan 2024

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada petang tadi menumpukan keperluan segenap pihak, kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu menjelaskan ia merangkumi kehidupan pesawah, petani, nelayan dan aspek pendidikan.

Ujarnya Belanjawan yang memperuntukan RM393.8 bilion itu lebih fokus kepada aspek pendidikan di mana sekiranya pelajar yang layak memasuki universiti tidak boleh menghentikannya daripada mendaftar kemasukannya.

“Kalau anda tanya, saya lebih suka kepada pendidikan. Sebab ia amat penting kerana banyak generasi muda keluarga mereka tidak dapat menampung perbelanjaan pendidikan terutamanya apabila nak masuk universiti.

“PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) akan mengambil masa untuk proses. Yang ini saya ingat satu kunci kita kena tolong.

“Saya secara peribadi melihat mereka ini. Kadang-kadang sedih nak masuk tapi tak ada duit. Ia menyebabkan mereka tak mahu daftar. Yang itu kita kena tolong,” katanya kepada media selepas selesai mendengar perbentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat petang tadi.

Dalam sidang media sama, Johari turut menyentuh mengenai subsidi bersasar yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan.

“Walaupun kerajaan menuju kepada subsidi bersasar tetapi dalam masa dia (Anwar) juga menekankan simpanan yang dapat daripada subsidi bersasar ini (yang) akan dipulangkan balik kepada rakyat khususnya kepada rakyat yang dianggap dalam kategori B40,” katanya lagi.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 antaranya menyatakan penuntut sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.

BBerkaitan

Latest articles