Rakyat Acheh Terkesan Banjir Zahir Terima Kasih Kepada Anwar, Rakyat Malaysia

ACEH: Penduduk Desa Pante Lhong di Aceh merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim serta seluruh rakyat Malaysia atas keprihatinan dan bantuan kemanusiaan yang disalurkan susulan bencana banjir besar yang melanda kawasan itu baru-baru ini.

Kepala Desa Pante Lhong, Murizal K berkata, sokongan berterusan dari Malaysia memberi suntikan semangat kepada penduduk untuk bangkit selepas kampung mereka mengalami kemusnahan teruk akibat bencana berkenaan.

Katanya, bantuan dalam bentuk makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas amat bermakna dalam usaha memulihkan kehidupan seharian penduduk.

“Kami mengucapkan terima kasih khusus kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan seluruh rakyat Malaysia atas perhatian dan bantuan yang diberikan sehingga kami kembali bersemangat untuk meneruskan aktiviti harian,” katanya dalam rakaman video yang dikongsikan kepada Bernama hari ini.

Dalam video berdurasi satu minit 14 saat itu, Murizal turut merayu agar bantuan tidak terhenti memandangkan proses pemulihan dijangka mengambil masa yang panjang.

“Kami mohon agar tidak ditinggalkan kerana perjalanan untuk pulih daripada keadaan ini masih jauh,” katanya.

Pada 22 November lalu, banjir besar dan tanah runtuh melanda beberapa wilayah di Indonesia, termasuk Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat, susulan hujan lebat berpanjangan serta Ribut Tropika Senyar.

Agensi Pengurangan Bencana Kebangsaan (BNPB) melaporkan setakat 10 Disember, jumlah korban mencecah 969 orang, manakala 252 lagi masih hilang, dengan kira-kira 158,000 rumah rosak di 52 wilayah terjejas.

Susulan tragedi itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta telah menghantar bantuan kemanusiaan, termasuk bekalan makanan, barangan keperluan asas, petugas kesihatan dan ubat-ubatan ke kawasan terjejas.

Selain itu, Pejabat Perdana Menteri pada 11 Disember turut mengumumkan sumbangan RM500 kepada setiap pelajar Indonesia yang menuntut di Malaysia dan terkesan akibat bencana banjir serta tanah runtuh di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.

BBerkaitan

Latest articles