Rakan Luah Kesal, “Kami Cari Sepenuh Hati, Rupanya Lakonan”

MUAR: Seorang pempengaruh dunia permotoran meluahkan rasa kecewa dan terkilan selepas mengetahui rakan lamanya yang disangka hilang sebenarnya sengaja mencipta cerita untuk melarikan diri ke Thailand.

Pempengaruh yang dikenali sebagai Qaqal Jeffry berkata, beliau bersama beberapa rakan lain telah mengorbankan masa dan tenaga demi menyertai operasi mencari dan menyelamat Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu.

Namun, segalanya terbongkar apabila Tengku Nizaruddin tampil menyerah diri di Balai Polis Muar, sebelum mengaku mereka-reka insiden kehilangan itu atas sebab peribadi.

“Tengah kerja, dapat panggilan, terus ke lokasi kejadian. Lagipun kawasan kampung sendiri. Kenal isteri dia, kenal anak dia. Doa sungguh-sungguh semoga dia selamat.

“Tapi bila dapat tahu semuanya lakonan, memang kecewa. Saya sempat berbual panjang dengan adik kandung dia sendiri, rupanya mereka pun berlakon,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Qaqal berkata, selama tiga hari mereka terlibat dalam pencarian termasuk menarik kereta milik mangsa keluar dari sungai namun tidak menyangka semua itu hanyalah sebahagian daripada helah.

“Bayangkan berapa ramai pihak yang terlibat, bomba, polis, orang kampung, kawan-kawan.

“Mungkin dia ada alasan sendiri, tapi niat tak menghalalkan cara. Ini bukan setakat buang masa dan tenaga, tapi main dengan emosi ramai orang,” luahnya.

Tambahnya, pengorbanan rakan-rakan bukan hanya dari segi fizikal dan kewangan, tetapi juga dari aspek mental kerana terlalu risaukan keselamatan sahabat lama.

“Kami risau sungguh. Doa tak putus-putus. Dah kenal lama, lebih 10 tahun. Isteri dia pun kami kenal, anak-anak pun. Cuba bayangkan perasaan kami semua,” katanya.

Dalam hantaran sama, Qaqal turut menyeru agar Tengku Nizaruddin tampil memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan.

“Andai kau terbaca hantaran ini, tolonglah sedar dan bertaubat. Nasi dah jadi bubur, perahu tak boleh undur. Ayuh move forward.

“Duit minyak, tol, nyamuk gigit, asam pedas tetel sepinggan nanti kau dah bebas, aku hantar nombor akaun. Doa semua tak perlu refund, aku ikhlas.”

Kelmarin, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, mengesahkan bahawa Tengku Nizaruddin telah menyerah diri di balai polis dan siasatan awal mendapati laporan kehilangannya adalah tidak benar.

“Laporan itu didapati meragukan dan dipercayai direka untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Kes berkenaan masih dalam siasatan dan pihak berkuasa belum mendedahkan motif sebenar tindakan Tengku Nizaruddin.

BBerkaitan

Latest articles