Raja Rozela Digugurkan Dari Ketuai Pendakwaan Kes Rasuah Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah digugurkan daripada kes itu minggu lepas.

Beberapa laporan media juga melaporkan pengguguran itu yang dikatakan dilakukan tanpa sebarang pengumuman rasmi.

Raja Rozela juga enggan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut.

Untuk rekod, Raja Rozela mengetuai kes Ahmad Zahid yang sedang berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah, lapan berhubung rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Sebelum ini, akhbar The New Straits Times melaporkan bahawa perbicaraan yang bersambung minggu lalu diteruskan tanpa kehadiran Raja Rozela.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana yayasan berkenaan untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadi, memindahkan wang ke firma guaman dan membuat sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles