SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan mengumumkan bahawa putera baginda, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bakal melangsungkan pernikahan dengan pasangannya, Cik Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz pada 2 Oktober ini.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataan memaklumkan, Istiadat Pernikahan Diraja akan diadakan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.
Majlis kemuncak perkahwinan diraja itu pula akan berlangsung pada 22 Oktober, melibatkan Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja di Balairung Seri serta Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah.
Bagi memberkati istiadat bersejarah ini, satu majlis bacaan Yasin dan doa selamat akan diadakan pada 25 September di seluruh masjid di Selangor dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Tujuannya bagi memohon keberkatan Allah SWT agar semua istiadat yang dirancang berjalan lancar dan sempurna. Pada tarikh tersebut, Raja Muda Selangor turut berkenan berangkat ke Majlis Doa Selamat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) di Shah Alam,” kata Mohamad Munir.