Raja Abdullah Mahu Salur Dana Ke Akaun Peribadi Najib – Saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa keluarga diraja Arab Saudi pernah berhasrat menyalurkan sumbangan dana kepada Datuk Seri Najib Razak melalui akaun peribadi beliau bagi menyokong perjalanan politik bekas Perdana Menteri itu kira-kira 16 tahun lalu.

Perkara tersebut didedahkan Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika memberi keterangan dalam perbicaraan saman SRC International Sdn Bhd dan Gandingan Mentari Sdn Bhd terhadap Najib berhubung tuntutan RM42 juta yang didakwa diseleweng.

Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, hasrat berkenaan dimaklumkan sendiri oleh Almarhum Raja Abdullah dalam satu pertemuan tidak rasmi di istana baginda di Riyadh pada 11 Januari 2010.

Jamil Khir, 64, berkata beliau menyertai perbualan tersebut selepas dipanggil oleh Najib ketika kedua-dua pemimpin berjalan menuju ke bahagian tengah dewan mesyuarat.

“Saya berdiri sedikit di belakang tetapi masih dapat mendengar perbualan serta terjemahan antara mereka. Dalam pertemuan itu, Raja Abdullah menyatakan hasrat untuk memberi sumbangan dana kepada Datuk Seri Najib,” katanya dalam pernyataan saksi.

Menurut beliau, pada pemahamannya, sumbangan itu dicadangkan dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib kerana dikhuatiri penyaluran terus kepada entiti atau organisasi politik boleh menimbulkan kerumitan dari sudut perbelanjaan dan pentadbiran.

Beliau turut menjelaskan bahawa bantuan tersebut bertujuan memastikan Malaysia kekal sebagai negara Islam sederhana serta membantu memperkukuh kedudukan Najib menjelang Pilihan Raya Umum 2013.

Selain itu, sumbangan berkenaan juga dikaitkan dengan usaha mengekang pengaruh Syiah dan membanteras fahaman ekstremis agama yang ketika itu semakin membimbangkan.

“Bagi Raja Abdullah, isu-isu ini penting kerana situasi serupa sedang berlaku di Timur Tengah yang akhirnya mencetuskan Arab Spring pada Disember 2010,” katanya lagi.

Jamil Khir turut memaklumkan bahawa sepanjang lawatan rasmi dari 13 hingga 16 Januari 2010, hubungan Malaysia dan Arab Saudi berada pada tahap baik, termasuk pemberian tambahan kuota haji kepada negara ini.

Beliau berkata, Najib kemudiannya didakwa menyalurkan sumbangan melalui cek kepada Bahagian Perhubungan UMNO Negeri Kedah pada 2012.

Dalam keterangannya, beliau turut menggambarkan hubungan rapat antara Najib dan Raja Abdullah, termasuk momen baginda memimpin tangan bekas Perdana Menteri itu ketika berjalan ke tengah dewan mesyuarat.

“Pada pemerhatian saya, cara mereka berinteraksi seperti seorang bapa dengan anak,” katanya.

Hubungan istimewa itu, menurutnya, turut terserlah apabila Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor dijemput sebagai tetamu rasmi kerajaan Arab Saudi untuk menunaikan haji.

Malah pada 7 November 2011, Malaysia menjadi negara Islam pertama diberi penghormatan menyampaikan ucapan mewakili semua tetamu pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istana Mina.

Namun, Jamil Khir memaklumkan beliau ditugaskan menyampaikan ucapan tersebut dalam bahasa Arab bagi pihak Najib.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung pada 2 Mac ini.

BBerkaitan

Latest articles