More

    Rais Hussin keluar Bersatu

    PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Rais Hussin Ariff, yang juga antara pengasas parti itu pada 2016, mengumumkan keluar parti berkuat kuasa hari ini.

    Dalam kenyataan, Rais yang juga pengerusi biro strategi dan dasar parti berkata, beliau telah menghantar surat rasmi kepada Bersatu semalam.

    Pengunduran itu, katanya, kerana beliau tidak lagi aktif di dalam parti sejak 2020 selepas menjalani prosedur jantung dan banyak menumpukan kepada pembangunan EMIR Research sebagai badan pemikir bebas yang menumpukan kepada cadangan dasar strategik.

    “Walaupun saya bukan lagi ahli Bersatu, saya akan giat meneruskan perjuangan saya untuk Malaysia yang lebih baik dalam membantu lebih ramai rakyat berdasarkan lima prinsip teras, iaitu reformasi, keadilan, keterangkuman, progresif dan wasatiyyah (pendekatan seimbang secara adil),” katanya.

    Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dr Mahathir Mohamad, pengerusi Bersatu ketika itu, yang mengamanahkannya pelbagai tanggungjawab utama dalam membina dan menggerakkan parti serta gabungan Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

    Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu turut berterima kasih kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang sentiasa memahaminya dengan lebih baik berbanding ahli lain.

    “Suatu hari, saya berharap akan membukukan pengalaman politik ini,” katanya.

    Latest articles

    Related articles

    spot_img