KUALA LUMPUR: Sudah menjangkakan apa yang akan berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), menyebabkam Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff bertindak keluar dari Bersatu seperti yang diumumkan baru-baru ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi percaya Rais, yang juga bekas Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Bersatu itu tidak akan keluar jika parti itu masih relevan dan mempunyai masa depan yang cerah.
“Namun pakar strategis tersebut tetap dapat membaca secara tajam, meskipun Bersatu ada jawatan Menteri Kabinet kanan, menteri, timbalan menteri dan pegang jawatan GLC.
“Malah jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara pun dilihat tidak ada impak terhadap negara dan parti. Sudah pasti situasi ini mudah dibaca oleh ahli strategis Bersatu.
“Manakala ahli Bersatu biasa tidaklah ada kesedaran ini, melainkan terus hanyut dengan mimpi dan kepercayaan bahawa Bersatu boleh memang besar dan membentuk kerajaan selepas PRU-15,” kata Ahmad Zahid dalam kenyataan hari ini.
Malah Ahmad Zahid yakin tindakan Rais itu adalah satu tamparan besar kepada parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin itu.
“Salah satu perkara yang dapat ditafsirkan ialah ketidakpercayaan kepada parti Bersatu sendiri yang dilihat bakal tewas dan tak boleh diselamatkan lagi.
“Akibat tindak tanduk pemimpin parti itu sendiri yang tidak merakyat, tidak mempunyai akar umbi yang kuasa, jentera yang lemah, kepimpinan hanya pentingkan jawatan dan kedudukan, dan tidak ada agenda perjuangan yang jelas,” katanya.
Bagaimanapun Ahmad Zahid mengucapkan tahniah atas tindakan yang diambil oleh Rais.
Ini kerana Rais pandai membezakan parti yang relevan dan bakal menang menjelang PRU-15.
Serentak itu Ahmad Zahid meminta ahli Bersatu yang lain mengikut langkah yang diambil oleh Rais.
“Cuma untuk ahli-ahli Bersatu yang bukan berstatus pengasas bersama Bersatu dan ahli strategis, ingin saya tanyakan, anda ahli-ahli biasa di peringkat cawangan bila lagi keluar dari parti Bersatu?
“Jangan pula lari malam beramai-ramai selepas tewas pilihan raya umum. Sudah terlewat ketika itu” katanya.