KUALA LUMPUR: Datuk Rafizi Ramli menegaskan beliau tidak pernah mengisytiharkan keluar parti dan kekal sebagai Ahli Parlimen Pandan sehingga Parlimen dibubarkan.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, beliau berhak merancang hala tuju politiknya selepas pembubaran Parlimen dan tidak lagi terikat dengan peruntukan undang-undang berkaitan pertukaran parti di pertengahan penggal.
Menurutnya, tafsiran bahawa kenyataannya untuk bertanding di Pandan pada PRU-16 bukan atas tiket PKR sebagai satu pengisytiharan keluar parti adalah tidak tepat dan terlalu dipaksakan.
“Jika difahami dengan waras, kenyataan itu tidak memerlukan tafsiran rumit seperti dalam surat tunjuk sebab,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Rafizi menjelaskan, beliau akan terus kekal sebagai anggota parti dan berkhidmat seperti biasa sehingga Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-16.
Tegasnya, isu berkenaan timbul susulan tafsiran terhadap temu bualnya yang didakwa membawa implikasi pengosongan kerusi, sedangkan pendiriannya jelas adalah beliau tidak melompat parti.










