KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli bersetuju untuk berdebat secara terbuka dengan pencabarnya, Nurul Izzah Anwar, menjelang pemilihan parti yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Menurut Rafizi, perdebatan itu penting bagi memberikan ruang kepada ahli parti dan rakyat untuk menilai hala tuju serta pendirian kedua-dua calon, sekali gus meredakan ketegangan yang tercetus susulan pertandingan jawatan nombor dua dalam PKR itu.
“Saya dah berdebat dengan Khairy Jamaluddin, malah Ahli Parlimen Bachok dari PAS yang cerdik pun saya dah debat. Jadi, saya yakin boleh berdebat dengan Nurul Izzah juga, asalkan dianjurkan oleh pihak bebas,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Hiruk Zon Pahang di Mentakab malam tadi.
Menteri Ekonomi itu turut menegaskan bahawa pertembungan beliau dengan Nurul Izzah tidak dapat dielakkan lagi, namun perlu ditangani secara matang demi menjaga imej parti.
“Kalau Nurul Izzah menang, orang akan kata ini nepotisme. Kalau dia kalah, orang akan kata parti tolak Anwar. Apa pun keputusan, beban akhirnya jatuh kepada Presiden parti,” ujar Rafizi, merujuk kepada potensi persepsi negatif yang mungkin timbul hasil keputusan pemilihan kelak.
Dalam ucapannya, Rafizi turut menyentuh tentang kepentingan membuat pertimbangan politik secara matang, khususnya dalam kalangan ahli muda PKR.
“Setiap tindakan ada kesan. Sebelum ambil langkah besar, fikir panjang. Kita bukan hanya main strategi, kita juga bawa harapan rakyat,” katanya sambil menyeru agar pemilihan ini dijadikan medan memperkukuh parti, bukan memecah-belahkan.
Sebelum ini, Rafizi menyatakan bahawa hanya satu jalan untuk meredakan polemik dalaman parti iaitu menyerahkan jawatan Timbalan Presiden kepada Nurul Izzah.
Namun, beliau kini secara rasmi menyatakan komitmen untuk mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan akan datang.