Rafizi Pertahan UMNO Berhubung Dakwaan Tuan Ibrahim ‘Makan Kawan’

KUALA LUMPUR: Kerjasama yang baik antara UMNO-Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk Kerajaan Perpaduan masih memberi kejutan kepada Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli turut membidas dakwaan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kononnya UMNO akan ‘makan kawan’ selepas mendapat kuasa.

Bahkan Rafizi menambah UMNO sendiri akan membuktikan ramalanbTuan Ibrahim Tuan Man adalah salah.

Apa yang berlaku pada hari ini adalah kerana UMNO memahami kepentingan kerjasama, terutama dalam melakukan reformasi ekonomi yang melancarkan pentadbiran kerajaan perpaduan.

“Itulah sebabnya kami boleh melakukan semua ini dengan pantas, perkara yang tidak boleh dilakukan sebelum ini kerana tidak ada politik sangat dalam kerajaan perpaduan, ia benar-benar untuk bekerja.

“Ramalan Tuan Ibrahim akan dibuktikan salah satu hari nanti,” kata Rafizi kepada pemberita selepas melancarkan program “Academy in Industry” (AiI).

Rafizi terlebih dahulu diajukan sebahagian ucapan ceramah Tuan Ibrahim di Lenggeng, Negeri Sembilan, malam tadi, kononnya UMNO akan mengkhianati kawannya apabila parti itu berkuasa.

Beliau merujuk tindakan penarikan sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi perdana menteri, dan undi tidak percaya kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Perak.

“Mereka beranggapan apabila bekerjasama dengan UMNO (dalam kerajaan perpaduan) akan berpecah, seperti mana cubaan mereka dalam Muafakat Nasional sebelum ini, namun perkara cukup berbeza berlaku.

“Kerajaan perpaduan wujud sebagai tanggungjawab kepada negara, kami terpaksa telan maruah masing-masing. Kami semua kena melupakan masa lalu dan fokus kepada masa hadapan,” kata Rafizi.

Rafizi berkata, setiap komponen kerajaan perpaduan memahami masa depan politik bukannya “zero-sum game” antara parti politik, sambil merujuk kelincinan rundingan kerusi menjelang PRN 12 Ogos.

“PN bergelut memuktamadkan rundingan kerusi mereka, ada bantahan sana sini, anda tidak melihat ia berlaku dalam parti kerajaan perpaduan kerana bukan lagi mengenai kepentingan individu dalam parti.”

Katanya, tempoh persefahaman politik akan berterusan sehingga “negara kembali bangkit”, di mana terpulang kepada parti lain memutuskan sama ada untuk bersaing antara satu sama lain.

“Apabila kita sampai di peringkat itu, saya rasa UMNO, PKR, DAP, Pakatan Harapan atau Barisan Nasional faham rakyat menyokong parti yang berprestasi dan bekerja,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles