Rafizi Ketuai Jentera Pilihan Raya, Nurul Izzah Dilantik Semula Sebagai Naib Presiden

Petaling Jaya: Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi mungkin akan memuktamadkan Rafizi Ramli sebagai Pengarah Pilihan Raya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Rafizi, yang juga Timbalan Presiden PKR akan dibantu empat Naib Presiden baharu, selain bekas Pengarah Pilihan Raya, Fuziah Salleh bagi memastikan kemenangan parti itu dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya.

“Kita yakin Insya-Allah dapat mengangkat martabat dan kedudukan Keadilan dan PH.

“Untuk itu, saya telah mencadangkan supaya saudara Rafizi selaku Timbalan Presiden mengetuai pasukan perang pilihan raya ini dengan beberapa naib presiden dan pengarah pilihan raya lalu, Fuziah Salleh bagi membantu beliau.

“Beliau akan diberikan wewenang (kuasa) untuk bergerak secepat mungkin bagi memperkuatkan jentera pilihan raya parti,” kata Anwar pada sidang media di ibu pejabat PKR, malam tadi.

Mesyuarat MPP tersebut turut memilih 12 pimpinan sebagai ahli baharu badan itu secara lantikan.

Pelantikan itu dibuat setelah mendapat persetujuan daripada semua barisan kepimpinan parti yang baharu bagi penggal 2022-2025 yang dimenangi pemilihan parti pada Ahad lalu.

Menurut Anwar, Nurul Izzah antara pimpinan PKR yang dilantik semula sebagai Naib Presiden, selain lantikan baharu membabitkan Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan Ahli Parlimen Putatan dari Sabah.

“Untuk naib-naib Presiden, sebanyak tiga pelantikan termasuk satu mewakili Sabah dan Sarawak. Saya mencadangkan Nurul Izzah, K.Saraswathy dan Awang Husaini Sahari dari Sabah,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, malam ini.

Selain Nurul Izzah, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong turut dilantik semula masing-masing sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari Agung

“Saudara Saifuddin Nasution akan diminta meneruskan tugas Setiausaha Agung, manakala Bendahari Agung pula William Leong.

“(Manakala) Ketua Setiausaha Pengelola mesti dilantik dalam kalangan ahli MPP iaitu Zahir Hassan dari Wilayah Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, seramai lima pimpinan dilantik sebagai ahli MPP baharu termasuk Manivannan Gowindasamy, Christina Liew, Rodziah Ismail, Abun Sui Anyit dan R.Yuneswaran.

“Ada lima ahli MPP yang juga dilantik kali ini dan dipersetujui iaitu Manivannan, tokoh lama bergerak dalam parti, Ahli Parlimen Tawau, Christina Liew dari Sabah, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail yang lama berkecimpung dalam kegiatan wanita.

“Abun Sui Anyit dari Sarawak dan seorang tokoh muda dari Johor yang bergerak aktif dalam AMK walaupun dia sekarang Ketua Cabang Tebrau,” katanya.

Selain itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang sebelum ini merupakan Pengarah Komunikasi dilantik untuk menggalas tugas sebagai Ketua Penerangan.

Sementara itu, Anwar berkata, tugas pertama Fahmi untuk menyusun perwakilan bagi mesyuarat MPP Pakatan Harapan (PH) yang akan bermesyuarat pada Selasa depan.

“Setiap parti akan diwakili tujuh orang termasuk ketua wanita dan ketua AMK, termasuk saya (presiden), Rafizi Ramli, Chang Li Kang, Nurul Izzah dan Saifuddin Nasution,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles