KUALA LUMPUR: PKR mengumumkan Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli kembali bertanding di Pilihan Raya Umum (PRU) selepas diumum mewakili Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Pandan pada PRU15.
Namanya diumumkan pada Majlis Pengumuman Calon-Calon PKR dan Majlis Tandatangan Ikrar Pencalonan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Taman Kosas, Ampang, malam tadi.
Pengarah Pilihan Raya PKR itu akan menggantikan penyandang kerusi Parlimen Pandan yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebaliknya bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak.
Pada PRU14, Rafizi mengumumkan tidak bertanding susulan keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 7 Februari 2020 yang menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadapnya kerana didapati bersalah membocorkan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), National Meat pada Mac 2012.
Beliau dilihat mendiamkan diri seketika dalam arena politik selepas PH menang PRU14 dan merampas tampuk pemerintahan negara daripada Barisan Nasional (BN).
Sejak awal tahun ini, Rafizi kembali ke gelanggang politik serta menyertai pemilihan PKR baru-baru ini dan diumum menang dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR.