KUALA LUMPUR: Ketidakhadiran bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli pada hari terakhir Kongres Nasional PKR 2025 menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pemerhati politik dan ahli parti, sehari selepas beliau tewas dalam pemilihan parti kepada Nurul Izzah Anwar.
Kongres yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pagi tadi menyaksikan kerusi yang diperuntukkan buat Rafizi kekal kosong sejak awal, walaupun Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba seawal jam 8.40 pagi diiringi barisan kepimpinan utama.
Menurut sumber dalaman yang enggan dikenali, Rafizi dikatakan telah berangkat pulang ke Kuala Lumpur bersama pasukannya malam tadi.
“Rafizi sudah pulang. Pasukan beliau pun sudah tinggalkan Johor,” kata sumber.
Rafizi, yang juga Menteri Ekonomi, belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kekalahannya kepada Nurul Izzah, yang memperoleh 9,803 undi, menewaskan beliau yang hanya meraih 3,866 undi dalam saingan dua penjuru.
Keputusan rasmi diumumkan lewat malam semalam oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa selepas Anwar merasmikan kongres tahunan tersebut.
Ketidakhadiran Rafizi dalam acara penting ini mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk kemungkinan beliau bakal berundur daripada politik aktif atau mengambil langkah refleksi selepas kekalahan mengejut.
Untuk rekod, Rafizi pernah tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan parti tahun 2018, sebelum bangkit menewaskan Saifuddin Nasution Ismail pada 2022 dan menyandang jawatan Timbalan Presiden.
Namun, kali ini beliau terpaksa akur dengan gelombang baharu dalam parti, yang menyaksikan kemunculan semula Nurul Izzah, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh dan anak sulung kepada Presiden PKR sebagai tokoh utama dalam kepimpinan baharu.
Tumpuan kini terarah kepada sama ada Rafizi akan terus kekal dalam barisan Kabinet sebagai Menteri Ekonomi, atau memilih untuk berundur seperti yang pernah dinyatakannya sebelum ini jika tewas dalam pemilihan parti.