KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa mengambil tindakan undang-undang segera terhadap ahli perniagaan, Albert Tei, susulan dakwaan serius yang dilemparkan terhadap Perdana Menteri.
Desakan itu disuarakan oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menegaskan bahawa hanya mahkamah mampu merungkai kontroversi yang semakin mencetuskan kekeliruan.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, kegagalan Anwar memfailkan saman segera akan membuka ruang kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN) untuk terus memanipulasi isu tersebut sebagai senjata politik, sehingga menenggelamkan tumpuan negara terhadap agenda lebih mendesak.
“Ketika ini, bola berada di kaki Perdana Menteri. Tanpa tindakan tegas, dakwaan ini akan kekal sekadar ‘kata dia, kata saya’,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Rafizi turut menegur bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang menurutnya perlu tampil membersihkan nama melalui proses undang-undang.
Beliau menjelaskan bahawa keengganan Shamsul berbuat demikian hanya akan menguatkan persepsi bahawa tuduhan Albert mempunyai asas.
Dalam masa sama, Rafizi mahu SPRM menyiasat dakwaan tersebut tanpa berlengah dan mendakwa mana-mana pihak jika terdapat elemen rasuah.
Dari sudut politik, Rafizi mengakui situasi yang melanda kerajaan ketika ini jauh lebih kompleks.
Katanya, walau apa pun keputusan mahkamah kelak, pendedahan Albert sudah pun memberikan tamparan yang besar kepada imej kerajaan serta kredibiliti Anwar.
Beliau menambah, jika langkah lebih tegas diambil awal seperti menyingkirkan Shamsul ketika isu surat sokongan tercetus, kerosakan mungkin dapat dikawal.
“Dalam senario paling buruk, episod ini akan terus menghantui beliau setiap kali bercakap tentang memerangi rasuah,” katanya.
Rafizi turut menasihatkan Anwar agar tidak meremehkan kemarahan penyokong Pakatan Harapan (PH) yang kini semakin gusar dengan pendedahan dan kontroversi yang muncul.
Namun, beliau menegaskan tidak wajar bagi mana-mana pihak menerima bulat-bulat dakwaan dalam video yang tular, termasuk dakwaan bahawa Anwar terlibat dalam usaha merakam video ADUN GRS.
Setakat ini, katanya, semua tuduhan tersebut masih berupa spekulasi yang perlu disiasat secara bebas.
Menurut Rafizi, sukar untuk Albert membuktikan dakwaan berkenaan melainkan wujud bukti rakaman jelas yang menunjukkan arahan diberikan oleh Perdana Menteri.
Sehingga itu berlaku, katanya, segala tuduhan masih di tahap khabar angin.










