Rafizi Dakwa Ada Usaha Gugurkan Dari Parlimen

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, mengesahkan beliau menerima surat tunjuk sebab daripada parti susulan dakwaan kononnya telah mengisytiharkan keluar parti.

Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan, isu berkenaan timbul susulan kenyataannya sebelum ini bahawa beliau bercadang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), namun bukan atas tiket PKR.

Bagaimanapun, beliau menegaskan selagi tiada surat rasmi keluar parti dihantar atau pengumuman menyertai parti lain dibuat, keahliannya dalam PKR masih sah dan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen tidak boleh disentuh.

Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, perancangannya hanya akan berkuat kuasa selepas pembubaran Dewan Rakyat, apabila beliau tidak lagi terikat dengan Akta Anti-Lompat Parti.

“Selepas saya bukan lagi Ahli Parlimen, terpulang kepada saya untuk menentukan hala tuju,” katanya menerusi video di Facebook.

Dalam masa sama, Rafizi menyifatkan surat berkenaan sebagai taktik lama yang pernah dipertikaikannya ketika pemilihan parti, termasuk isu pertukaran sistem undian kepada teknologi blockchain dan dakwaan enggan membuka peti undi untuk diaudit.

Beliau mendakwa langkah terbaharu itu bertujuan menyingkirkannya dari Parlimen walaupun beliau tidak pernah mengisytiharkan keluar parti.

Rafizi berkata beliau akan memberikan penjelasan rasmi kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, sebelum menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan selanjutnya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut membandingkan pendekatan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Rafizi berpendapat beliau mungkin sudah lama dipecat sekiranya berada dalam Bersatu, selain mendakwa wujud tekanan agar beliau sendiri mengisytiharkan keluar parti bagi membolehkan kerusinya dikosongkan.

BBerkaitan

Latest articles