KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa terdapat “tangan ghaib” yang cuba menekan rakyat biasa gara-gara memberikan pandangan peribadi berhubung pemilihan PKR 2025 yang menyaksikan kekalahannya kepada Nurul Izzah Anwar.
Menerusi kenyataan di Facebook, Rafizi membidas tindakan yang disifatkannya sebagai intimidasi terancang melibatkan campur tangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap pengguna media sosial yang mengkritik perjalanan pemilihan parti itu.
“Kemungkinan wujud watak-watak tertentu yang berselindung di belakang nama menteri dan mengarahkan SKMM atau PDRM menekan orang awam kerana pandangan mereka tidak sealiran,” kata Ahli Parlimen Pandan itu.
Beliau turut menegaskan bahawa beliau yakin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil tidak mengarahkan tindakan sedemikian.
Rafizi mendedahkan beliau menerima banyak aduan sejak minggu lalu, termasuk:
• SKMM menghantar laporan kepada platform X (Twitter) mendakwa kandungan melanggar undang-undang Malaysia;
• Pegawai SKMM dan polis mengunjungi individu terlibat tanpa dokumen rasmi;
• Notis siasatan dikeluarkan kepada pengguna;
• Telefon pintar dan kad SIM dirampas untuk siasatan.
“Kebanyakan kandungan itu hanyalah pandangan peribadi rakyat biasa tentang pemilihan PKR. Ia tidak melanggar undang-undang,” tegasnya.
Dalam kenyataan sama, Rafizi turut memuat naik salinan laporan polis oleh isteri kepada salah seorang individu yang dipanggil oleh SKMM, mendakwa rumah mereka diganggu pegawai siasatan.
Beliau berkata, lebih 15 akaun X turut menjadi sasaran siasatan, hanya kerana menyuarakan pandangan yang berbeza dengan arus perdana dalam PKR.
Bagi membela rakyat yang terkesan, Rafizi berkata beliau sudah berbincang dengan barisan peguam sukarela untuk mewakili individu yang menerima tekanan tersebut.
“Jika terbukti berlaku intimidasi tanpa asas, mereka akan dinasihati untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya.
Rafizi juga mengingatkan menteri agar tidak mencampuradukkan pandangan politik dengan kuasa pentadbiran, sambil menyifatkan perbezaan pendapat adalah sebahagian daripada cabaran dalam demokrasi.
“Menekan rakyat hanya kerana pandangan politik berbeza akan mengukuhkan persepsi bahawa kerajaan hari ini mudah menyalahguna kuasa dan tidak menghormati suara rakyat,” ujarnya.