KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan beliau berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan laporan NGO berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan bernilai RM1.11 bilion melibatkan kerjasama dengan syarikat reka bentuk semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings.
Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi menafikan sebarang salah laku dan mencabar pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh.
Beliau menegaskan tidak menerima sebarang imbuhan, komisen atau manfaat berkaitan perjanjian pembangunan cip “Made by Malaysia” itu.
Isu berkenaan timbul selepas laporan dibuat terhadap perjanjian Malaysia dengan Arm Holdings.
Dalam masa sama, ia tercetus selepas kritikan terbuka Rafizi terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berhubung kontroversi pemilikan saham dan gesaan supaya beliau digantung tugas.
Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dilaporkan berkata suruhanjaya itu akan meneliti laporan berkenaan termasuk kemungkinan wujud unsur rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa di bawah Akta SPRM 2009.
Beliau memaklumkan penelitian dokumen dan bukti akan dibuat sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.
Sumber turut dipetik sebagai mendakwa wujud keraguan terhadap proses rundingan dan kelulusan projek berkenaan, termasuk dakwaan tidak melibatkan sepenuhnya kementerian serta agensi berkaitan seperti Kementerian Kewangan dan MITI.










