Rafizi Bimbang PKR ‘Mati’ Lepas Anwar Buka Lagi PM

KUALA LUMPUR: Masa depan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi tanda tanya besar sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi berada di tampuk kuasa, kata bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, keresahan tersebut bukan sekadar pandangan peribadi, sebaliknya turut dikongsi oleh ramai aktivis reformasi yang melihat PKR kini terlalu bergantung kepada satu figura utama.

Rafizi berpandangan, landskap semasa parti itu memberi gambaran seolah-olah PKR diwujudkan semata-mata sebagai platform untuk memastikan Anwar kembali menjawat jawatan Perdana Menteri bagi penggal kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Katanya, perbualan dalam kalangan akar umbi turut berubah apabila isu utama bukan lagi soal kemenangan pilihan raya, tetapi persoalan ke mana arah PKR selepas ketiadaan Anwar.

“Apabila segalanya tertumpu kepada seorang pemimpin, tanpa barisan pelapis yang benar-benar diyakini dan tanpa perancangan jelas untuk era seterusnya, PKR berdepan risiko untuk ‘mati’ bersama DSAI,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau mengakui bahawa mengetengahkan Anwar sebagai wajah utama parti adalah satu pendekatan politik yang boleh difahami, namun menegaskan ia tidak boleh berlaku secara mutlak sehingga menenggelamkan pembangunan kepimpinan lain.

Rafizi turut mengingatkan faktor usia, apabila Anwar dijangka berumur sekitar 85 tahun selepas menamatkan dua penggal sebagai Perdana Menteri, sekali gus menjadikan kesinambungan kepimpinan satu keperluan mendesak.

“Jika pelapis yang ada hanya berfungsi sebagai pengiring, pemuji dan pembela tanpa peranan sebenar, PKR akan kehilangan roh perjuangannya apabila Anwar tidak lagi berada di hadapan,” katanya.

Tambah beliau, rakyat kini menunggu jawapan jelas tentang rupa dan peranan PKR pasca-Anwar, satu persoalan besar yang menurutnya tidak boleh lagi dielakkan oleh kepimpinan parti.

BBerkaitan

Latest articles