Rafizi: Anwar Perlu Jelaskan Isu Pelantikan Hakim, Usah Biar Rakyat Berteka-teki

PUCHONG: Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyembunyikan apa-apa berkaitan isu pelantikan badan kehakiman yang kini hangat diperkatakan, sebaliknya tampil memberi penjelasan terbuka kepada rakyat.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, jika isu pelantikan Ketua Hakim Negara terus dibiarkan tanpa jawapan jelas, ia hanya akan mencetuskan lebih banyak spekulasi serta persepsi negatif terhadap kebebasan institusi kehakiman.

“Hanya segelintir daripada 34 juta rakyat Malaysia yang tahu hal sebenar. Tapi kesannya besar semakin lama kita tangguh, semakin banyak spekulasi, khabar angin dan tuduhan yang timbul. Yang akan bayar harga paling mahal adalah kebebasan dan integriti kehakiman,” katanya pada sidang media khas di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang, Puchong Jaya hari ini.

Menurut Rafizi, rakyat tidak boleh dipersalahkan sekiranya mula membuat andaian sendiri memandangkan terlalu banyak persoalan yang masih belum terjawab.

“Ada laporan polis, pemanggilan ahli JAC (Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman) secara tiba-tiba tanpa notis, isu pencalonan yang lambat atau tidak diambil tindakan hingga berlaku kekosongan. Jadi tidak hairanlah jika rakyat mula berkata ini semua akan jadi bahan serangan terhadap kerajaan,” jelasnya.

Beliau menambah, langkah terbaik ialah membawa isu berkenaan ke Parlimen untuk dijelaskan secara terbuka supaya rakyat dapat menilai berdasarkan fakta, bukan sekadar persepsi.

“PM dah bawa Akta Perkhidmatan Parlimen, PM Question Time jadi gunakan platform Parlimen untuk jawab persoalan ini. Ini isu berkepentingan nasional,” katanya.

Rafizi juga menegaskan beliau sendiri mahu mengetahui sama ada benar berlaku campur tangan atau tidak, tetapi tidak berada dalam posisi untuk mendapatkan maklumat kerana tidak terlibat dalam JAC atau perbincangan Kabinet.

“Perkara macam ini tak dibincang dalam Kabinet, jadi ahli Kabinet pun tak tahu. Sebab itu, cara terbaik bersihkan keadaan ialah melalui Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan prosiding Parlimen,” katanya.

Beliau turut memberi amaran sekiranya perkara ini terus dibiarkan, kerajaan berisiko berdepan tekanan berterusan termasuk sidang media mingguan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, kenyataan hakim, peguam, laporan polis serta lebih banyak kebocoran maklumat.

“Kalau kerajaan tak bertindak awal, rakyat akan buat kesimpulan sendiri yang mungkin betul, mungkin juga tidak,” tegasnya.

Dalam masa sama, Rafizi turut menempelak beberapa pihak media yang didakwanya cuba memutarbelit kenyataan.

“Kita tak tuduh apa-apa di luar fakta. Kita cuma mahu isu ini tidak tergantung tanpa penyelesaian. Bila maklumat mula tersebar, ia akan undang lebih banyak spekulasi dan boleh jejaskan keyakinan rakyat pada sistem kehakiman,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles