Radzi Puji Sikap Muhyiddin Bak ‘Ular Menyusur Akar’

KUALA LUMPUR: Peralihan kepimpinan dalam Perikatan Nasional (PN) berlangsung tanpa sebarang polemik apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan jawatan Pengerusi gabungan itu secara tertib dan berlapang dada.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, tindakan Muhyiddin yang juga Presiden parti memberi laluan kepada pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN baharu wajar dipuji kerana dilakukan tanpa drama.

Menurut Ahli Parlimen Putrajaya itu, mesyuarat khas yang diadakan semalam berlangsung dalam suasana harmoni dan profesional, sekali gus membolehkan keputusan dibuat secara tertib.

Radzi menegaskan, Muhyiddin tetap komited untuk terus menyumbang kepada PN termasuk memperkukuh struktur dalaman dan memperkasa Majlis Presiden walaupun tidak lagi memegang jawatan tertinggi gabungan itu.

“Bak kata orang tua-tua, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Radzi mengingatkan bahawa Muhyiddin merupakan antara pengasas utama PN pada tahun 2020 , daripada mencetus idea, menamakan gabungan, memilih bendera sehinggalah menyusun gerak kerja bersama parti-parti komponen.

Katanya, hasil kerjasama erat itu, PN berjaya muncul sebagai jenama politik yang kukuh dan dihormati dalam tempoh singkat serta mencatat kejayaan dalam pilihan raya.

Muhyiddin sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN pada 30 Disember 2025, dan Mesyuarat Khas PN diadakan bagi meluluskan keputusan tersebut selaras dengan peruntukan perlembagaan gabungan itu.

BBerkaitan

Latest articles