Putusnya Hubungan UMNO-BERSATU Ada Implikasi Besar

BERSATU berpandangan bahawa pendirian UMNO untuk tidak lagi bekerjasama akan memberi kesan besar terhadap kedua-dua parti itu pada masa hadapan.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata parti memandang serius surat pemakluman UMNO yang diserahkan kepada presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

“Berhubung surat yang dihantar oleh Presiden UMNO bertarikh 26 Februari 2021, Bersatu memandang serius terhadap kandungan surat tersebut kerana ia mempunyai implikasi yang besar terhadap kerjasama di masa hadapan antara UMNO, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Pandangan itu merupakan antara hasil mesyuarat Ahli Pimpinan Tertinggi BERSATU selama dua jam dipengerusikan Muhyiddin.

Menurut Hamzah, mesyuarat yang sama turut memutuskan untuk BERSATU fokus terhadap usaha memperkasakan gerak kerja bersama rakan dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan bagi berhadapan dengan pilihan raya yang akan datang.

Tambah Hamzah, Bersatu berpendirian kepimpinan Muhyiddin masih utuh dan berfungsi untuk memberi khidmat kepada rakyat.

Dalam pada itu, Bersatu juga mengucapkan terima kasih kepada parti politik yang setia mendokong serta mempertahankan aspirasi kerajaan PN selama setahun.

“Dalam tempoh pentadbiran satu tahun itu, Kerajaan PN telah berjaya menjulang prinsip-prinsip urus tadbir kerajaan yang baik, telus serta berintegriti terutamanya dalam memelihara kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

“Dalam menghadapi pandemik Covid-19 dan situasi ekonomi yang mencabar, kestabilan politik adalah amat penting bagi memastikan segala perancangan kerajaan dapat direalisasikan dengan berkesan,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles