Putri Qisya Jadi Anak Angkat MARA, TPM Mahu Masa Depan Terbela

JITRA: Nasib malang menimpa Putri Qisya Nur Izzat, 12, yang kehilangan kedua ibu bapa dan empat adik serentak dalam tragedi lemas di Sungai Korok, Jitra, terus mendapat perhatian apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan kanak-kanak itu akan dijadikan anak angkat Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menurut Ahmad Zahid, langkah itu bagi memastikan Putri Qisya dapat meneruskan pelajaran sehingga ke menara gading tanpa sebarang halangan.

“Insya-Allah, MARA akan menjaga Putri Qisya sebagai anak angkat supaya dia mendapat sokongan penuh pendidikan sehingga ke universiti,” katanya ketika mengunjungi kediaman nenek kanak-kanak itu di Kampung Bohor Karang, hari ini.

Putri Qisya yang kini hanya mampu menguatkan semangat untuk menghadapi dugaan besar ini berkata, walaupun sedih dengan kehilangan keluarga tersayang, dia tetap bersyukur kerana ramai hadir memberikan sokongan.

“Ramai cikgu dan ustazah datang beri semangat, nasihatkan supaya selalu doakan arwah umi dan walid,” katanya dengan nada sebak.

Putri Qisya terselamat daripada tragedi itu kerana berada di rumah nenek ketika kereta dinaiki ibu bapanya Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama empat adiknya dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Korok pada Sabtu lalu.

Mayat kesemua mereka ditemukan semalam.

Neneknya, Roswati Zainol, 52, berkata cucunya itu sedang berusaha mengumpul kekuatan menerima hakikat tragedi yang menimpa.

“Semalam nampak dia kuat, tapi hari ini dia nampak sugul. Saya pesan supaya berkongsi apa dia rasa, jangan simpan sebab takut nanti dia sakit kalau terlalu memendam,” kata Roswati.

Beliau juga menyerahkan sepenuhnya kepada Putri Qisya untuk memilih sama ada mahu terus tinggal bersamanya atau bersama ibu saudara.

“Saya tak paksa. Biar dia ikut hati, dengan siapa dia rasa serasi,” ujarnya.

Sejak semalam, rumah Roswati tidak putus-putus dikunjungi pelbagai pihak termasuk ahli politik, badan kebajikan, jiran tetangga serta guru-guru sekolah bagi memberikan sokongan moral dan menghulurkan bantuan.

Putri Qisya turut menerima kunjungan Ahmad Zahid yang dilihat beberapa kali menepuk bahu dan mengusap kepala kanak-kanak itu.

“Semoga Allah SWT terus memelihara Qisya dan memberinya ketabahan,” kata Ahmad Zahid.

BBerkaitan

Latest articles